IT: Penduduk luar bandar tidak diabai
Staff
Berita Harian-19/04/01
Kerajaan akan sentiasa memastikan kawasan luar bandar tidak terabai daripada mendapat manfaat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sejajar dengan sistem Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).
KUALA LUMPUR, Khamis – Kerajaan akan sentiasa memastikan kawasan luar bandar tidak terabai daripada mendapat manfaat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sejajar dengan sistem Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).
Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Amar Leo Moggie, berkata sistem USP itu bertujuan menggalakkan penggunaan secara meluas perkhidmatan rangkaian dan aplikasi di seluruh Malaysia.
“Matlamat itu dicapai dengan menggalakkan pemasangan kemudahan dan penyediaan perkhidmatan rangkaian atau aplikasi dalam kawasan yang kurang liputan perkhidmatan.
“Ini sejajar dengan matlamat kerajaan yang mahukan rakyat negara ini celik IT menjelang 2005,” katanya merasmikan syarikat Cordoda Corporation Sdn Bhd, di sini hari ini.
Cordoda adalah syarikat bersekutu Patimas Computers Berhad iaitu syarikat tempatan yang pertama disenaraikan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).
Pada majlis itu, Cordoda turut menerima anugerah sijil status Koridor Raya Multimedia (MSC) daripada Moggie.
Turut hadir, Naib Presiden Kanan Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDC), Dr Arif Nun.
Sementara itu, Pemangku Pengerusi Eksekutif Cordoda, Lee Tak Suan, berkata Cordoda menyediakan perkhidmatan meluas dan pengurusan rangkaian aplikasi ke arah persediaan perniagaan e-dagang.
Katanya, perniagaan konvensional tidak dapat menandingi perniagaan e-dagang kerana peniaga kini mula mengubah sikap mereka terhadap perniagaan berkonsep moden serta mudah, selain dapat memperkenalkan produk mereka ke seluruh dunia.
“Adalah penting bagi setiap syarikat Malaysia menjalankan perniagaan menerusi e-dagang. Jika tidak, mereka berkemungkinan besar menyaksikan hasil jualan mengecil kerana e-dagang menguasai sebahagian besar agihan pasaran.
“Perkembangan positif ekonomi negara ini menyebabkan permintaan untuk barangan meningkat dari pelbagai pihak,” katanya yang turut menjelaskan syarikat itu tidak menghadapi kesan daripada kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat.
This
news is related to Cordoda Corporation Sdn Bhd
Search
for more news relating to Cordoda Corporation Sdn Bhd
Search
for products & services relating to Cordoda Corporation Sdn Bhd